Puasa vs Endorphins



Kali ni saya nak berkongsi tentang faedah puasa dan hormon endorphins. Sebelum ni saya dah share tentang amalan berpuasa dan kaitannya dengan kajian saintifik, tapi kali ni saya fokuskan kepada hormon endorphins.


Apa itu endorphins?


Hormon endorphins merupakan neuropeptides yang menghubungkan 3-40 asid amino yang akan menghasilkan neurotransmitter. Fungsi endorphins ialah sebagai penahan sakit dengan menyekat perembesan substance P (bahan yang menyebabkan rasa sakit), juga berperanan dalam proses pembelajaran dan memori selain mengawal suhu badan dan kesihatan mental. Kesan endorphins dapat disamakan dengan morphin (sejenis dadah berbahaya) kerana struktur kimia yang hampir sama.

Kaitan dengan puasa?


Kajian yang dilakukan oleh Komaki G. daripada Universiti Kyushu, Jepun mendapati paras endorphins meningkat selepas beberapa hari berpuasa. Peningkatan paras endorphins dalam darah ini menjadikan fikiran kita lebih fokus dan tenang serta damai.

Kerana itu bulan Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk kita menunaikan ibadah kerana minda kita lebih fokus dan tenang.

Masa kita semakin singkat bukan lagi 24 jam


Kenapa kita rasa masa sangat pantas berlalu? Adakah perasaan kita semata-mata atau memang betul masa dah pendek?! Dalam sehari ada 24 jam, tapi betul ke? Rasa macam kurang je. Tak sampai pun 24 jam.

Mungkin apa yang kita rasa tu ada benarnya. Menurut saintis NASA, gempa bumi di Sumatera pada 26 Desember 2004 dengan magnitude 9.1-9.3 yang menyebabkan tsunami besar telah mengubah paksi Bumi dan memendekkan perjalanan masa selama 6.8 mikrosaat sehari! Selain itu gempa bumi yang berlaku di Chile pada 27 Februari 2010 pada magnitude 8.8 juga telah memendekkan masa sebanyak 1.26 mikrosaat setiap hari!

Pada ketika post ini ditulis, mengikut kiraan kasar kita telah kehilangan 0.017 saat kesan daripada dua siri gempa bumi kuat ini!*

Ini tidak termasuk kejadian gempa bumi yang melanda Haiti pada 12 Februari 2010 dengan skala 7.0, gempa bumi di Jepun pada Mac 2011 (skala 9.0), April 2011 (skala 7.1) dan beberapa lagi siri gempa bumi kuat mutakhir ini. Jika dijumlahkan kesemuanya, berapa masa yang kita telah hilang daripada 24 jam? Ini bermakna dalam sehari kita tidak lagi mempunyai 24 jam!

Nabi bersabda, "Kiamat tidak akan berlaku sehingga masa menjadi singkat, setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti sejam dan sejam seperti masa bagi menyalakan api." Riwayat at-Tarmizi.

Sesungguhnya janji Allah itu benar, "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian." Surah al-Asr ayat 1-2.

Hukum euthanasia (Mercy Killing)


Pernah tak anda mempunyai saudara-mara atau sahabat yang koma hospital berbulan-bulan lamanya? atau yang dah tak ada harapan untuk sembuh kembali? Apa pilihan yang ada? Salah satunya adalah euthanasia.

Apa itu euthanasia?

Kematian secara mudah atau tanpa kesakitan atau sengaja mengakhiri kehidupan seseorang yang menderita sakit yang sudah tidak dapat diubati atau yang sudah tidak dapat ditahan lagi sakitnya. Juga dikenali sebagai Mercy Killing atau Mati Rahmat.

Dengan kata lain, pesakit yang sudah tidak ada harapan untuk sembuh atau dah tak beri respon kepada ubatan dan rawatan akan ditamatkan riwayatnya. Bunyinya macam zalim kan?

Ada beberapa kategori euthanasia:


Euthanasia aktif: Mempercepatkan kematian seseorang dengan tindakan secara langsung seperti menyuntik ubatan tertentu yang boleh membawa maut dengan segera.

Euthanasia pasif: Mempercepatkan kematian seseorang secara tidak langsung seperti dengan cara menghentikan bekalan makanan, air, ubatan atau prosedur-prosedur yang perlu bagi meneruskan hidup pesakit. Pesakit dibiarkan tanpa sebarang rawatan sehingga mati disebabkan penyakit yang dialaminya.

Euthanasia secara sukarela (voluntary): Apabila seseorang yang dipercepatkan kematiannya berdasarkan permintaannya sama ada secara lisan atau bertulis.

Non-voluntary euthanasia: Apabila seseorang yang dipercepatkan kematiannya tidak membuat sebarang permintaan atau wasiat supaya dipercepatkan kematiannya. Juga merujuk kepada proses mempercepatkan kematian pesakit yang berada dalam keadaan tidak sedar, koma atau tidak mampu memberikan reaksi yang dapat difahami. Dalam kes ini, biasanya ahli keluarga si pesakit yang membuat permohonan supaya dipercepatkan kematian.

Involuntary euthanasia: Apabila seseorang yang dibunuh telah meminta supaya dia tidak dipercepatkan kematiannya.

Kenapa nak buat macam tu?


Kebanyakan pihak yang menerima kaedah euthanasia bersandarkan hujah bahawa proses tersebut dapat membantu pesakit yang sudah tidak ada harapan untuk sembuh. Ini disebabkan ia dapat mengakhiri penderitaan yang dialami oleh pesakit tersebut serta dapat mengurangkan kos perubatan yang terpaksa ditanggung oleh si pesakit bagi meneruskan rawatannya.

Apa hukumnya?

Kebanyakan ulama' berpendapat bahawa semua kategori euthanasia adalah HARAM.

Dr. Yusuf Al-Qardawi menerangkan bahawa euthanasia aktif adalah haram kerana dalam kaedah ini, doktor bertindak mengakhiri hayat pesakit dan menyebabkan kematiannya dengan cara suntikan bahan tertentu, kejutan elektrik, senjata tajam dan sebagainya. Ini adalah sama dengan membunuh dan membunuh adalah dosa besar di dalam Islam.

Beliau berpendapat bahawa menghentikan rawatan kepada pesakit, adalah dibenarkan di dalam Islam dengan syarat setelah pakar-pakar perubatan sepakat bahawa si pesakit tersebut sudah tidak ada harapan lagi untuk sembuh.

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nahl ayat 61 yang bermaksud:

Apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka dapat mendahulukan. 

FirmanNya lagi dalam surah Ali'Imraan ayat 145, bermaksud:

Dan setiap makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah.


Wallahua'lam..

Kisah profesor yang 'tidak mempunyai otak'

Mari kita baca dan renungkan cerita di bawah ni. Semoga kita mendapat pengajaran dan manfaat daripadanya.

Seorang profesor ahli falsafah atheist (tidak percaya kewujudan Allah) bercakap kepada kelasnya mengenai masalah ilmu pengetahuan tentang sains terhadap ALLAH, Yang Maha Kuasa.

Dia meminta salah seorang pelajar barunya untuk berdiri dan bertanya kepada muridnya itu.

Prof: Jadi anda percaya pada Tuhan?

Mahasiswa: Tentu saja, Sir.

Prof: Apakah Allah SWT itu baik?

Mahasiswa: Tentu.

Prof: Apakah Allah SWT Maha Berkuasa?

Mahasiswa: Ya.

Prof: Saudaraku meninggal kerana kanser walaupun dia berdoa kepada tuhan untuk menyembuhkan dia.

Kebanyakan dari kita akan berusaha untuk membantu orang lain yang sedang sakit. Tapi Tuhan tidak. Bagaimana dikatakan yang Tuhan itu baik ?

Hmm?

(Pelajar itu terdiam)

Prof: Anda tidak boleh menjawab, anda boleh? Mari kita mulai lagi, anak muda. Adakah Tuhan baik?

Mahasiswa: Ya.

Prof: Apakah syaitan baik?

Mahasiswa: Tidak.

Prof: Dari mana syaitan berasal?

Mahasiswa: Dari ... Tuhan ...

Prof: Itu benar. Katakan, apakah ada kejahatan di dunia ini?

Mahasiswa: Ya.

Prof: Iblis berada dimana-mana, bukan? Dan Tuhan memang membuat segalanya. Benar?

Mahasiswa: Ya.

Prof: Jadi, siapa yang menciptakan kejahatan?

(Pelajar tidak menjawab)

Prof: Apakah ada Kesakitan? Ketidaksopanan? Kebencian? Keburukan? Semua hal yang mengerikan yang ada di dunia, bukan?

Mahasiswa: Ya, Sir.

Prof: Jadi, siapa yang menciptakan mereka?

(Pelajar itu tidak mempunyai jawapan)

Prof: Ilmu pengetahuan mengatakan bahawa anda mempunyai 5 deria anda gunakan untuk mengenalpasti dan mengamati dunia di sekitar anda. Katakan padaku... Apakah anda pernah melihat Allah?

Pelajar: Tidak, Sir.

Prof: Katakan pada kami jika anda pernah mendengar Tuhan anda?

Pelajar: Tidak, Sir.

Prof: Apakah anda pernah merasakan Tuhanmu, mengecap Tuhanmu, mencium Tuhanmu? Adakah anda pernah memiliki persepsi deria Allah dalam hal ini?

Pelajar: Tidak, Sir. Saya takut saya tidak.

Prof: Namun anda masih percaya kepada-Nya?

Mahasiswa: Ya.

Prof: Menurut empirikal, protokol boleh diuji, boleh dibuktikan, ilmu pengetahuan mengatakan Tuhan mu tidak ada. Apa yang anda ingin katakan terhadap itu?

Mahasiswa: Tidak ada. Saya hanya mempunyai kepercayaan, keimanan, keyakinan saya.

Prof: Ya. kepercayaan, keimanan, keyakinan saya. Dan itulah masalah sains yang ada.

Pelajar: Professor, apakah ada sesuatu yang namanya panas?

Prof: Ya.

Pelajar: Dan apakah ada sesuatu yang namanya dingin?

Prof: Ya.

Pelajar: Tidak, Sir. Tidak ada.

(Dewan kuliah menjadi senyap sekali dengan apa yang terjadi antara perbualan mereka)

Pelajar: Sir, anda boleh mempunyai banyak panas, bahkan lebih, lebih panas, sangat panas, panas putih, sedikit panas atau tidak panas.

Tapi kita tidak memiliki sesuatu yang disebut sejuk. Kita boleh mencapai 458 darjah dibawah sifar yang tidak panas, tetapi kita tidak boleh melangkah lebih jauh selepas itu. Tidak ada satu benda pun seperti sejuk. Sejuk hanyalah satu perkataan kita gunakan untuk menggambarkan ketiadaan panas. Kita tidak boleh mengukur sejuk. Panas adalah tenaga. Sejuk bukanlah lawan kepada perkataan panas, sir, hanya ketiadaan itu sahaja.

(Suasana masih lagi hening di dalam dewan kuliah)

Pelajar: Bagaimana dengan kegelapan, Professor? Apakah ada sesuatu seperti kegelapan?

Prof: Ya. Apakah malam jika tidak ada kegelapan?

Pelajar: Anda salah lagi, sir. Kegelapan adalah tidak adanya sesuatu. Anda boleh mempunyai cahaya redup, cahaya normal, cahaya terang, cahaya berkelip. Tapi jika anda mempunyai cahaya tidak terus-menerus, anda tidak mempunyai apa-apa dan itu disebut kegelapan, bukan? Pada kenyataannya, itu bukan kegelapan. Jika ia ada, anda akan dapat membuat kegelapan menjadi lebih gelap, bukan?

Prof: Jadi, apa maksudmu, anak muda?

Pelajar: Sir, maksudku adalah falsafah anda tidak benar.

Prof: Tidak benar? Bolehkah anda menjelaskan bagaimana?

Pelajar: Sir, anda membantah tentang adanya kehidupan dan kemudian ada kematian, Tuhan yang baik dan Tuhan yang jahat. Anda melihat konsep Tuhan sebagai sesuatu yang terbatas, sesuatu yang dapat kita ukur. Sir, apa sahaja bahkan sains tidak dapat menjelaskan apa itu fikiran. Itu menggunakan elektrik dan magnet, tetapi tidak pernah dilihat, apatah lagi difahami sepenuhnya oleh sesiapapun. Untuk melihat kematian sebagai lawan daripada kehidupan adalah dengan tidak peduli terhadap kenyataan bahawa kematian tidak boleh wujud sebagai hal yang substantif. Kematian bukanlah lawan dari kehidupan: ia hanyalah ketiadaan itu sahaja.

Sekarang katakan, Professor. Adakah anda mengajar pelajar anda bahawa mereka telah berubah daripada seekor monyet?

Prof: Jika anda merujuk pada proses evolusi semulajadi yang dialami, ya, tentu saja, saya lakukan.

Pelajar: Adakah anda pernah mengamati evolusi dengan mata anda sendiri, Sir?

(Profesor menggelengkan kepalanya dengan senyuman, mula menyedari di mana hujah yang terjadi)

Pelajar: Kerana tidak ada seorang pun yang pernah mengamati proses evolusi terjadi dan bahkan tidak dapat membuktikan bahawa proses ini adalah usaha yang tidak berlaku, bukankah anda sedang mengajarkan pandangan anda, sir? Adakah anda bukan saintis melainkan penceramah?

(Dewan kuliah menjadi gempar)

Mahasiswa: Apakah ada seseorang di kelas yang pernah melihat otak Profesor?

(Dewan kuliah dipenuhi dengan gelak tawa)

Mahasiswa: Apakah ada orang ada di sini yang pernah mendengar otak Profesor, merasakannya, menyentuhnya atau menciumnya? Tak seorang pun nampaknya telah melakukannya. Jadi, menurut peraturan yang telah ditetapkan empirik, protokol stabil, didemonstrasikan, sains mengatakan bahawa anda tidak punya otak, Sir.

Dengan segala rasa hormat, sir, bagaimana kami kemudiannya percaya dengan kuliah, sir?

(Dewan kuliah menjadi senyap. Professor menatap kepada pelajar, wajahnya tak terduga)

Prof: Saya rasa kamu harus membawa mereka kepada IMAN, PERCAYA dan YAKIN.

Pelajar: Itulah dia sir. Hubungan antara manusia dan Tuhan adalah IMAN, PERCAYA, YAKIN. Itulah semuanya yang membuatkan sesuatu benda itu bergerak & hidup.

Handsome vs Tak-Handsome

Kalau lelaki handsome pendiam
Perempuan akan cakap:: woow, cool giler...
kalau lelaki tak handsome pendiam
Perempuan akan cakap: eh perasan bagus...

kalau lelaki handsome berbuat jahat
Perempuan akan kata: nobody's perfect
kalau lelaki tak handsome berbuat jahat
perempuan akan cakap: memang.... muka pun macam pecah rumah!

kalau lelaki handsome menolong perempuan yg diganggu
perempuan akan cakap: wah.. machonya.. macam hero filem!
kalau lelaki tak handsome menolong perempuan yang diganggu
Perempuan akan kata: entah2 kawan dia...

kalau lelaki handsome dapat perempuan cantik
perempuan akan kata: sepadan sangat...
kalau lelaki tak handsome dapat perempuan cantik
perempuan akan kata: mesti kena bomoh perempuan tu!

kalau lelaki handsome ditinggal kekasih
perempuan akan kata: jangan sedih, kan saya ada..
kalau lelaki tak handsome ditinggal kekasih
perempuan akan kata:...(terdiam, tapi telunjuknya
meliuk-liuk dari atas ke bawah, patutlah, tengok saja luarannya)...

kalau lelaki handsome penyayang binatang
perempuan akan cakap: perasaannya halus...penuh kasih sayang
kalau lelaki tak handsome penyayang binatang
perempuan akan cakap: sesama keluarga memang harus menyayangi...

kalau lelaki handsome bawa BMW
perempuan akan cakap: matching... hebat luar dalam
kalau lelaki tak handsome bawa BMW
perempuan akan cakap: bang, bosnya mana?...

kalau lelaki handsome tak mau bergambar
perempuan akan cakap: pasti takut kalau2 gambarnya tersebar
kalau lelaki tak handsome tak mau bergambar
perempuan akan kata: tak sanggup melihat hasilnya ya?...

kalau lelaki handsome menuang air ke gelas perempuan
perempuan akan cakap:ini barulah lelaki gentlemen
kalau lelaki tak handsome menuang air ke gelas perempuan
perempuan akan cakap: naluri pembantu, memang begitu....

kalau lelaki handsome bersedih hati
perempuan akan cakap: let me be your shoulder to cry on
kalau lelaki tak handsome bersedih hati
perempuan akan kata: kuat nangis!! lelaki ke bukan ni?

haa..betul tak??
agaknye sy dlm kategori yg mana ek....

Kenali Ilmuwan Islam

Tentu anda familiar dengan nama-nama seperti ini: Sir Isaac Newton, Alexander Graham Bell, Galileo Galilei, Plato, Hippocrates, Galen, Socrates, Pythagoras, Wright Brothers, Thomas Edison, Pascal dan saintis barat yang sebaris dengannya.

Tetapi pernahkah anda mendengar nama-nama seperti Al-bairuni, Ali Kuscu, Thabit ibn Qurra, Al-Maghribi, Abu'l Vafa, Ibn Jazzar? Tentu jarang sekali bukan. Malah ada nama-nama yang langsung tidak pernah kita dengar!


Siapa mereka ini?


Ibn Sina (Avicenna) menerangkan tentang cara-cara rawatan ke atas pelbagai jenis penyakit. Kitab agungnya, Kitab al-Qanun fi at-Tibb, yang ditulis dalam bahasa Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada kurun ke-12. Ia diajar dan dianggap sebagai buku pelajaran asas di universiti-universiti Eropah sehingga abad ke-17. Kebanyakan maklumat perubatannya masih lagi sesuai untuk diaplikasikan pada hari ini.

Zakaria Qazvini meruntuhkan banyak pendapat-pendapat yang salah berkaitan dengan otak dan jantung, yang mana telah dianggap tepat sejak zaman Aristotle lagi. Maklumat yang beliau berikan berkenaan dengan dua organ tersebut sama dengan pengetahuan hari ini.

Zakaria Qazvini, Hamd Allah Mustawfi Qazvini (1281-1350), dan Ibn Nafs, semuanya merupakan pengkaji anatomi serta membentuk asas sains perubatan moden.

Ali ibn Isa telah menulis tiga jilid buku tentang penyakit mata, Tazkirat al-Kahhalin. Jilid pertama tertumpu sepenuhnya pada anatomi mata dan mengandungai banyak informasi berharga. Ia kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Jerman.

Al-Bairuni membuktikan 600 tahun lebih awal sebelum Galileo bahawa bumi berputar, dan juga telah mengira diameternya 700 tahun sebelum Newton melakukannya.

Ali Kuscu menghasilkan peta pertama untuk bulan, satu bahagian yang dinamakan sempena nama beliau.

Thabit ibn Qurra menemui kalkulus pembezaan berkurun-kurun sebelum Newton.

Al-Battani merupakan manusia pertama yang mengasaskan trigonometri.

Abu'l Vafa bertanggungjawab mewujudkan istilah secant (sec) dan cosecant (cosec) dalam bidang trigonometri.

Al-Khawarizmi merupakan orang pertama yang menulis buku berkenaan algebra.

Al-Maghribi mengasaskan persamaan yang dikenali sebagai segitiga Pascal, 600 tahun sebelum ditemui oleh Pascal sendiri.

Ibn Haitsam merupakan pengasas optik. Bacon dan Kepler sekadar menggunakan hasil kerja beliau, sementara Galileo mengunakan penemuan beliau dalam penghasilan teleskop.

Al-Kindi memajukan relativiti dan teori relativiti 1,100 tahun lebih awal daripada Einstein.

Akshamsaddin, yang hidup lebih kurang 400 tahun daripada Pascal, merupakan orang pertama yang menemui kewujudan mikrob.

Ali ibn Abbas adalah orang pertama yang menjalankan pembedahan kanser.

Ibn Jazzar menjelaskan punca-punca dan cara rawatan penyakit kusta.

Lebih ramai lagi ilmuwan Islam yang hebat-hebat. Tetapi sayangnya mereka telah 'dilenyapkan' sehingga hari ini kita hanya mampu mengenali nama-nama seperti yang dinyatakan di barisan atas sekali post ini. Semoga kita akan lebih menghargai ilmuwan Islam dan berusaha mencari siapa disebalik saintis-saintis hebat ini.

:: Sumber: Harun Yahya. Zaman Batu: Satu Pembohongan Sejarah.

Pssttt: Siapa Ilmuwan Islam dalam gambar di atas?


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Dibelasah kerana bertudung!

Apa nak jadi dengan dunia zaman sekarang ni? lebih teruk dari zaman jahiliah! Seorang bapa melarang keras dan menampar anaknya yang ingin bertudung...

Ikuti kisahnya....semoga kita dapat ambil pengajaran daripada kisah ini...

Hamba Allah ini merupakan seorang anak yatim, ibunya telah pergi menghadap Ilahi beberapa tahun sudah. Dia kini tinggal bersama-sama bapanya, seorang abang dan tiga orang adik. Bapanya seorang CEO di sebuah konglomat di ibu kota, seringkali pulang ke rumah lewat. Maklumlah, businessman.

Beberapa hari sudah, seusai mandi, dia membelek-belek badannya di hadapan sebuah cermin besar di dalam biliknya. Entah macam mana, satu perasaan masuk ke dalam hatinya. Dia berasakan betapa ayu dirinya sekiranya dia bertudung. Selama ini, dia hanya free hair jika keluar ke mana-mana.

Bapanya melarang keras anak-anaknya bertudung. Pernah sebelum itu dia tidak diberi makanan seharian gara-gara menggunakan tuala mandinya sebagai tudung di rumah. Itu baru bertudung di rumah! Tentu lagi teruk dia akan hadapi sekiranya dia bertudung di luar rumah.

Walau bagaimanapun, dia nekad untuk bertudung. Dia mengambil keputusan untuk melarikan diri sekiranya ditentang hebat oleh bapanya. Kesemua adik-beradiknya sependapat dengan bapanya. Dia merasakan keputusan ini adalah yang terbaik. Biarlah dia menjadi pemangkin kepada perubahan ke arah kebaikan, pencetus kepada free hair style kepada pemakaian tudung yang sempurna.

Dia terus memakai tudung, bersiap untuk keluar berjalan-jalan dengan kawan-kawannya yang kesemuanya bertudung.

Sebelum dia sempat membuka pintu rumahnya, dia terdengar deruman enjin kereta BMW 7 Series milik bapanya. Berderau hatinya kerana risaukan keselamatan dirinya jika diapa-apakan bapanya. Jarang bapanya pulang pada waktu tengah hari kerana selalunya bapanya hanya tiba di rumah selepas jam 8 malam.

Dia merasakan bahawa inilah cara terbaik untuk menyatakan pendiriannya untuk bertudung. Walaupun hanya berusia 12 tahun, dia nekad dan tetap dengan pendiriannya. Now or never!

Dia membuka daunan pintu, dan terus memegang tangan bapanya untuk bersalam dan mengucup tangannya. Sesudah itu, dia terus menyatakan pendiriannya untuk memakai tudung.

PAAANNNGGGG!!!

Satu hayunan penampar dilayangkan bapanya tepat ke pipi kirinya yang putih. Dia tersepok di kaki tiang rumah. Aduh kesian..

"Sampai hati daddy! Angah tau la daddy mesti malu dengan kawan-kawan daddy. Tapi salah ke kalah angah nak tutup aurat? Salah ke? Kalau Along dengan adik-adik tak nak..."

PAAANNNGGGG!!!

Hayunan penampar kedua hinggap ke pipi kirinya sebelum dia habis bercakap.

Bapanya juga tetap dengan pendiriannya, melarang semua anak-anaknya bertudung. Dengan nada yang tinggi, bapanya memarahinya.

"Don't try to make fool! Don't ever try to overthrow my good reputation with your strange behaviour!" Gertak bapanya.

"Dah berjuta kali daddy bagitau, LELAKI TAK PAYAH PAKAI TUDUNG, LELAKI TAK PAYAH PAKAI TUDUNG!!! Faham ke tidak?! Lain kali, ponteng lagi sekolah agama. Elok-elok daddy and arwah mummy letak nama 'Farhan', angah ubah jadi 'Anne'! All your friends call you 'Anne'! Along dengan adik-adik tak bertudung sebab diorang tu lelaki. Sama macam angah juga!"

"Aurat angah pusat sampai lutut saja! tak payah nak pakai tudung tutup kepala!" bapanya bertambah berang.

"Kalau angah nak sangat pakai tudung, nanti daddy panggil doctor or mana-mana tok mudim, suruh dia 'potong' habis angah punya, biar jadi perempuan, nak?" bapanya mengungkapkan kata-kata yang terakhir sebelum meninggalkannya menangis keseorangan di hadapan pintu rumah.

Hahahahahaha....


Pssttt: Lain kali jangan cuba-cuba nak ponteng mana-mana kelas agama, baik yang budak-budak remaja, dan tidak terlepas juga yang dewasa. Rajin-rajin menambahkan ilmu agama kita yang masih cetek.


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Nikah gantung tiket untuk ber'couple' ?



Ada seorang sahabat saya bertanyakan tentang nikah gantung atau nikah khitbah. Jadi di sini saya menjawab berdasarkan pendapat peribadi dan juga rujukan daripada beberapa sumber. Apa sebenarnya nikah gantung ni? Betul ke nikah gantung ni sebagai tiket untuk bercouple?

Islam agama yang mudah dan menyediakan panduan lengkap kepada seseorang muslim. Begitu juga dalam hal perkahwinan. Islam tidak menyusahkan dalam soal pernikahan, yang menjadikannya susah adalah manusia sendiri. Terlalu banyak adat yang perlu dipenuhi terutama dalam masyarakat melayu.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah SWT Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)


Apa itu nikah gantung?


Nikah gantung sama seperti nikah biasa, cuma bezanya pasangan tidak boleh bersama selepas bernikah untuk tempoh tertentu. Nikah dulu, majlisnya kemudian. Pasangan tak boleh tinggal bersama sebelum majlis berlangsung.

Kenapa?


Ramai yang mengatakan ia bertujuan untuk mengelakkan zina. Ataupun ia boleh berlaku atas beberapa faktor, seperti:
  • Masih menuntut di kolej atau universiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Apa hukumnya?


Saya tidak mahu menjatuhkan hukum secara terus berkenaan isu ini. Apa yang boleh saya nyatakan di sini hanya hukum-hukum dalam pernikahan.

WAJIB kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu.disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

SUNAT kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

HARUS kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

MAKRUH kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.

HARAM kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.

Ada dalam sejarah Islam tak?

Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

Bagaimana dengan nafkah zahir dan batin?

Bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. 

Pendapat peribadi

Pada saya, kalau ada keinginan untuk berkahwin, pastikan kewangan mantap dan kukuh! Kalau masih belajar tu, tunggulah bila dah ada kerja baru boleh menyunting anak orang. Tapi kalau dah tak tahan, takut terjebak dalam zina, ada cara alternatif untuk menghalalkan hubungan itu. Apapun restu kedua ibu bapa amat penting, kerana redha Allah terletak pada redha ibu bapa.

Saya tinggalkan anda dengan persoalan untuk anda membuat penilaian sendiri. Benarkah nikah gantung ini tiket untuk ber'couple' ?

:: Dipetik dan diubahsuai daripada iluvislam.com


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Bersahur memudaratkan kesihatan?


Seperti yang kita semua tahu, nabi amat menekankan kepentingan bersahur pada bulan puasa. Ia merupakan amalan penting di bulan Ramadhan. Ini dapat dilihat melalui hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslin, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud:

"Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan."


Rasulullah juga menyuruh uma Islam agar melewatkan sahur.  Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud:

"Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahut dan menyegerakan berbuka puasa."


Kenapa perlu lewatkan sahur?


Ia signifikan dan saintifik kerana menepati waktu bersarapan, iaitu pada awal pagi. Sarapan merupakan waktu yang paling penting dalam tempoh masa 24 jam. Bersarapan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain.


Bagaimana pula dengan mereka yang mengabaikannya?

Dalam kajian Dr. Mrk Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan penyakit kencing manis. Bagi mereka yang bersarapan, mereka mempunyai risko 50% lebih rendah diserang penyakit ini.

Kajian yang dijalankan oleh Dr. Theresa Nicholas dari Kolej Perubatan Baylor pula mendapati mereka yang skip breakfast mempunyairisiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan boleh menyebabkan penyakit anaemia.


Kesimpulannya?


Bersahur tidak memudaratkan! Malah ia dikira sebagai ibadah kerana mengikut sunnah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 15-17:

"Katakanlah, 'Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya, Mereka juga dikurniakan ister-isteri yang suci serta mendapat keredhaan Allah. Dan Allah maha melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, ya Tuhan kami sesungguhnya kami beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah dan memohon ampun di waktu sahur'."



:: Dipetik dan diubahsuai daripada buku Quran Saintifik karangan Dr. Danial Zainal Abidin.




* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Puasa - cara rawatan tertua di dunia

Tahukah anda puasa adalah cara rawatan tertua di dunia! Orang-orang terdahulu suka berpuasa. Hippocrates, Galen dan Paracelcius juga menjadikan puasa sebagai kaedah rawatan kepada pesakit-pesakit mereka! Plato, Socrates, Phytagoras dan Mahatma Gandhi juga selalu berpuasa!

Testimoni pesakit menunjukkan bahawa berpuasa dapat menyembuhkan penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur (insomnia), gangguan sistem penghadaman dan penyakit kulit.

"Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Para pengkaji berpendapat menjauhi makanan dan berpuasa adalah proses semulajadi ke arah kesembuhan. Puasa mencepatkan penyembuhan kerana secara umumnya bakteria memrlukan zat besi bagi bertindak, justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya." - Dr. Cindy Engles (Ph.D)

"Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Sekiranya berlaku kematian semasa berpuasa, punca kematian daripada sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu..." (Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)

"Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah selamat." -  Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan University of Westminster, London. Dalam hal ini, puasa Ramadhan dikategorikan sebagai puasa jangka pendek, dan ia selamat dan tidak memudaratkan.

Namun begitu, pengecualian berpuasa boleh diberikan kepada mereka yang mengidap penyakit serius dan kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang serius, batu karang, dll. Islam tidak membebankan ummatnya. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud:

"Sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir (maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikanlah ia pada hari yang lain."


:: Dipetik dan diubahsuai daripada buku Quran Saintifik karangan Dr. Danial Zainal Abidin.


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Hikmah berpuasa daripada sudut sains



Alhamdulillah kita sudah semakin hampir memasuki bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat. Sudahkah anda bersedia?

Allah S. W. T. berfirman dalan Surah Al-Bawarah ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana ke atas mereka yang sebelum-mu semoga kamu bertaqwa."

Baiklah sempena kedatangan bulan mulia ini, mari kita tinjau hikmah berpuasa daripada sudut sains. Tentu banyak rahsia disebalik amalan berpuasa ni. Ok mari kita lihatkesan berpuasa terhadap kesihatan.

Berpuasa adalah menyihatkan! Kajian yang dibuat oleh Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman (1984)  menggunakan parameter hormon cortisol, testosterone, electrolyte sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan fatty acid.


Dr. F. Azizi dari Universiti Sains Perubatan Tehran pula mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone (FSH), thyroxine stimulating hormone (TSH), thyroxine-4, thyroxine-3, testosterone, prolactin dan luteinising hormone (LH).


Keputusannya?


- Paras gula dalam darah (glucose) turun ke paras yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan.
- Kadar kolesterol 'jahat' atau low-density lipoprotein (LDL) menurun dan kadar kolesterol 'baik' atau high-density lipoprotein (HDL) meningkat.
- Paras lemak dalam darah (triglyceride) dan kolesterol dalam darah menurun.
- Berpuasa mencegah serangan penyakit metabolisme yang disebabkan oleh kadar gula dan lemak dalam darah yang tinggi.

Sebenarnya terdapat banyak lagi manfaat berpuasa terhadap kesihatan manusia. Saya akan kongsikan dengan anda dari semasa ke semasa.


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Kaitan hantu/jin dan zikir


Tahukah anda bahawa daripada sudut sains, hantu atau jin alah kepada cecair gas nitrogen, ais, garam mentah, oksigen, cahaya, karbon dioksida, frekuensi kurang satu Hertz dan wangian.

Hantu dikatakan gemar kepada cuka, cendawan, bahan yang cepat busuk, bahan yang tinggi kandungan serat, gas beracun, bahan yang cepat teroksida (bertindak balas dengan oksigen), tinggi kandungan natrium, busuk dan najis.

Zikir memiliki gelombang tetap dan apabila diamalkan secara berterusan, gelombang zikir akan menguasai ruang kosong pada tubuh manusia dan menjadikannya ‘pejal’ menyebabkan tiada lagi ruang untuk dimasuki gelombang asing seperti hantu atau jin.

Adakah semua ini betul? Wallahua'lam... Tetapi ada logiknya.

Persoalannya benarkah hantu itu wujud? Yang tercatit dalam al-Quran hanya iblis, syaitan dan jin. Terpulang kepada penilaian masing-masing sama ada ingin mempercayainya ataupun tidak. Apapun, alam ghaib itu tetap wujud! dan mempercayainya termasuk dalam rukun iman.

Top 65 Universiti di Malaysia

Senarai Top Ranking Universiti Terbaik di Malaysia bagi tahun 2011:


  1. Universiti Sains Malaysia
  2. Universiti Teknologi Malaysia
  3. Universiti Kebangsaan Malaysia
  4. Universiti Putra Malaysia
  5. University of Malaya
  6. Universiti Malaysia Perlis
  7. Multimedia University
  8. Universiti Teknologi Mara
  9. Universiti Malaysia Pahang
  10. International Islamic University of Malaysia
  11. Universiti Utara Malaysia
  12. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
  13. Universiti Tenaga Nasional
  14. Universiti Malaysia Sabah
  15. Open University Malaysia
  16. University of Nottingham Malaysia
  17. Universiti Teknologi Petronas
  18. Universiti Sains Islam Malaysia
  19. Universiti Pendidikan Sultan Idris
  20. Taylor’s University College
  21. Universiti Teknikal Malaysia Melaka
  22. Universiti Tunku Abdul Rahman
  23. Universiti Malaysia Terengganu
  24. Universiti Malaysia Sarawak
  25. Universiti Tun Abdul Razak
  26. Monash University Malaysia
  27. Universiti Industri Selangor
  28. Wawasan Open University
  29. UCSI University
  30. Curtin University of Technology Sarawak Campus
  31. Asia Pacific Institute of Information Technology
  32. International Medical University
  33. Help University College
  34. Tunku Abdul Rahman College
  35. Al Madinah International University
  36. Universiti Kuala Lumpur
  37. National Defence University of Malaysia
  38. Segi College
  39. Universiti Sultan Zainal Abidin
  40. Universiti Malaysia Kelantan
  41. Limkokwing University of Creative Technology
  42. KDU College
  43. Selangor International Islamic University College
  44. Sunway University College
  45. Malaysia Theological Seminary
  46. Malaysia University of Science & Technology
  47. Olympia College Malaysia
  48. Swinburne University of Technology Sarawak Campus
  49. Malaysian Institute of Management
  50. University of Malaya Medical Center & Faculty of Medicine
  51. INSANIAH University College
  52. Taman Pertanian University
  53. Kuala Lumpur Infrastructure University College
  54. International Centre for Education in Islamic Finance
  55. Majlis Peperiksaan Malaysia
  56. Cyberjaya University College of Medical Sciences
  57. Disted-Stamford College
  58. Berjaya University College of Hospitality
  59. Asia e University
  60. KBU International College
  61. New INTI College
  62. TATI University College
  63. Nilai International College
  64. Asia Pacific University College of Technology & Innovation
  65. AIMST University
Sumber: http://www.melvister.com/2011/04/senarai-ranking-universiti-terbaik-di-malaysia-2011.html


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Selepas kita mati, apa akan jadi pada akaun Facebook kita?



Mari kita renung-renungkan bersama fikir-fikirkan bersama jika satu hari nanti kita mati, akaun facebook ini hanya kita yang tahu password hanya kita yang boleh access. Dan   selepas kita mati. Apa yang jadi pada akaun fb kita? Mungkin ada yang akan ucapkan takziah mungkin ada yang selalu menjenguk bagi mengubat rindu tetapi, sedarkah kita gambar-gambar kita. akan terus membuatkan kita terseksa di alam kubur? Gambar-gambar yang tidak ditutupi aurat dengan sempurna macam mana nanti?

Lelaki ajnabi terus-terusan tengok dalam masa yang sama, tiada siapa yang boleh deletekan gambar kita. Walau sudah bertahun-tahun kita mati, gambar itu terus ada. Saham dosa terus meningkat. Macam mana? Pernah terfikir tak? Tudung singkat yang dipakai tu, akan selamatkan kita dalam kubur nanti? Legging dan jeans ketat, boleh selamatkan kita? Baju yang membalut aurat itu, bagaimana?  Mungkin kini kita masih merasa tak sabar nak berkongsi cerita dengan gambar-gambar yang cantik tempat-tempat yang kita dah lawati di muka buminya tapi di akhirnya nanti. Semua itu tidak akan membawa erti semuanya hanya tinggal kenangan bagi yang masih hidup di alam kubur, semua itu tidak sedikit pun boleh menyelamatkan kita.

Cuba kita renung-renungkan, saham dosa yang terus meningkat walau setelah ketiadaan kita di muka bumi sehingga hari akhirat tutupilah auratmu sebelum auratmu ditutupkan peliharalah dirimu sebelum dirimu dikapankan. Jagalah maruah diri sebagai seorang muslimah. Mati itu pasti persiapkan diri untuk mati itu perlu.

Pesanan khas ini bukan sahaja ditujukan kepada muslimah semata-mata, malah juga kepada muslim. Ingat! Lelaki juga punyai aurat, dan aurat itu perlu dijaga supaya tidak mendatangkan dosa.

Moga allah redha dengan perkongsian ini amin.. Renung-renungkan dan selamat beramal :)

P/s: sebar-sebarkan. Semoga bermanfaat.
Sumber : layar minda


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Ramalan kematian Galaksi Bima Sakti

Tahukah anda bahawa galaksi Andromeda sedang mengejar kita untuk 'membaham' dan 'menelan' Bima Sakti? Galaksi Andromeda merupakan galaksi yg paling hampir dgn Bima Sakti dgn jarak 2.5 juta tahun cahaya..

Dengan kelajuan 300 km/saat....300 km per saat...3 kali ganda lebih pantas daripada kelajuan peluru. Galaksi Andromeda ini sedang 'mengejar' Bima Sakti di mana sistem solar kita terletak. dan bayangkan jika galaksi Andromeda yg lebih besar daripada galaksi kita mertembung dan bergabung dgn Bima Sakti, apa akan terjadi? sudah tentu segalanya akan musnah dan punah ranah. Berjuta-juta bintang dalam kedua galaksi ini akan terlempar daripada pusingan orbit masing-masing. Seluruh struktur galaksi akan berubah secara total dan akan membentuk satu bentuk galaksi baru yg lebih besar..

Galaksi Bima Sakti
Fenomena ini dianggap proses semulajadi bagi semua galaksi. Perlanggaran ini merupakan proses 'kelahiran' atau 'kematian' sesebuah galaksi itu..dan tidak terhad kepada hanya 2 buah galaksi sahaja, penggabungan ini juga boleh terjadi melibatkan 3 atau empat buah galaksi..walaupun ia adalah proses semulajadi alam, namun tidak semua galaksi mengalami proses ini. Hanya galaksi tertentu sahaja yg mengalami proses penggabungan ini.

tak tergambar dek akal fikiran betapa dahsyatnya tatkala semua planet dan bintang-bintang bertembung dan hancur. Adakah masih ada lagi ruang untuk kita melarikan diri? jawapannya pasti tidak. Bumi yg begitu kerdil tidak mungkin akan terkecuali daripada menjadi 'mangsa' Andromeda. Sebagai umat Islam yg beriman dgn rukun iman, inilah yg dikatakan KIAMAT. Ketika bintang-bintang dan planet-planet berguguran.

Galaksi Andromeda

Namun, dgn kelajuan 300 km/saat dan jarak 2.5 juta tahun cahaya dari Bima Sakti, kejadian pertembungan dua galaksi ini diramalkan akan berlaku dalam tempoh 2.5 bilion tahun lagi, tetapi adakah bumi yg sudah begitu uzur dan nazak dek kerana tangan-tangan manusia ini mampu menunggu 2.5 bilion tahun lagi untuk musnah? sedangkan tanda-tanda kecil kiamat sudah jelas kelihatan....

Dipetik dan diubahsuai daripada : http://emynurqaseh.blogspot.com

* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Siapa Iskandar Zulkarnain?



Post ini adalah berdasarkan pembacaan saya mengenai buku yang bertajuk "Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain" yang ditulis oleh Afareez Abd Razak Al-Hafiz, seorang penulis lulusan PhD. dalam Pendidikan
Islam dari UIAM. Saya sekadar ingin berkongsi pendapat mengenai buku ini.



Mengenai Iskandar Zulqarnain...adakah benar bawaha Iskandar itu adalah Zulqarnain seperti yang tercatit di dalam kitab suci al-Quran..?? perkara ini menjadi perdebatan kerana al-Quran tidak menjelaskan tentang ciri-ciri khusus mengenai siapakah yang digelar Zulqarnain.

Selama ini kita diceritakan dengan cerita-cerita mengenai kehebatan dan keperwiraan Iskandar Zulqarnain (atau Alexander the Great) yang berjaya menyatukan penduduk Yunani dan menakluki 16 buah bandar di Macedonia. cerita turun-temurun dari mulut ke mulut ini juga menjadikan kita percaya dengan gambaran bahawa Iskandar adalah Zulqarnain yang disebut dalam Surah al-Kahfi. Persoalannya, adakah benar Iskadar dan Zulqarnain adalah individu yang sama? dan adakah Zulqarnain itu merupakan Alexander the Great yang dikenali di Eropah?

Untuk merungkai persoalan-persoalan ini, mari kita singkap sejarah siapakah Iskandar dan Zulqarnain yg sebenarnya dan apakah kaitannya dengan Alexander the Great...

Siapa Iskandar?
- Raja Iskandar (356-323 BC)
- dikenali sbg Alexander of Macedonia (sekarang Greece) atau Alexander the Great
- Ayahnya Raja Philip II, ibunya Olimpias
- Berjaya menjinakkan kuda hitam liar yg diberi nama Bucephalus
- Meluaskan empayarnya ke Timur
- Menumpaskan tentera utama Parsi dalam peperangan Issus
- Menumpaskan tentera Raja Darius III dalam Peperangan Gaugemala
- Menang dalam Peperangan Hydespas (kempen ketenteraan Raja Iskandar ke India)
- Menyerapkan amalan mencium tangan, melutut dan menyembah orang atasan sbg tanda penghormatan
- Menganggap dirinya mempunyai sifat ketuhanan sbg anak Zeus
- bersifat panas baran
- penagih arak dan mempunyai sikap prejudis kepada orang lain sehingga sanggup membunuh rakan-rakan rapatnya
- membunuh orang tempatan dalam kempen penjajahannya
- mengabaikan tanggungjawab sbg Raja di tanah airnya
- mati di sebuah istana di Babylon. antara sebab-sebab kematiannya adalah diracun, demam panas ataupun malaria

Siapa Zulqarnain?
- bermaksud 'yang bertanduk dua'
- disebut sebanyak 3 kali dalam Surah al-Kahfi dalam al-Quran
- sebelum kedatangan Nabi Isa
- Ibn Kathir menyatakan bahawa Zulqarnain merupakan raja yg soleh
- hidup di era Nabi Ibrahim
- pernah melakukan tawaf mengelilingi Kaabah bersama Nabi Ibrahim semasa beliau membinanya
- orang Yahudi pd zaman Rasulullah telah mengetahui cerita mengenai Zulqarnain, ironinya cerita tentang Raja Iskandar tidak terdapat dalam kitab pendeta Yahudi, sebaliknya terdapat cerita tentang seorang lg raja iaitu Raja Kurush.

Siapa Raja Kurush?
- dikenali dgn panggilan Cyrus II Parsi atau Cyrus the Great
- lahir di Anshan, Iran
- Bapanya Raja Parsi bernama Cambyses I
- ibunya Mandana
- seorang yg takutkan Tuhan (disebut dlm buku U'zair)
- berjaya menakluki seluruh empayar Madia dan menjadi raja empayar Parsi
- menawan banyak kerajaan kecil di Babylon, termasuk Palestin dan Syria tanpa pertumpahan darah
- membebaskan semua hamba abdi Yahudi di Babylon
- menyatukan kerajaan Madia dan Parsi
- meninggal dalam peperangan menentang kaum Massagetae
- tempat persemadiannya di Pasargadae, Iran pernah diziarahi sendiri oleh Raja Iskandar sbg tanda penghormatannya

Nabi Daniel pernah bermimpi ada seekor kambing gurun bertanduk dua mengalahkan semua jenis binatang, tetapi akhirnya dikalahkan oleh kambing gurun bertanduk satu. lalu malaikat memberitahunya bahawa 'yang bertanduk dua' itu adalah raja kepada Madia dan Parsi dan 'yang bertanduk satu' itu adalah raja Yunani. kiasan tersebut merujuk kepada empayar Raja Yunani (Raja Iskandar) berjaya menewaskan empayar Parsi selepas kematian Raja Kurush (Raja kpd Madia dan Parsi).

Melihat ciri-ciri di atas, jelas menunjukkan bahawa Raja Iskandar bukanlah seorang raja yg soleh sepertimana yg dicatit dalam al-Quran..manakala Raja Kurush hampir menepati ciri-ciri Zulqarnain yg dimaksudkan dalam al-Quran..namun, banyak lagi ciri-ciri dan hujah-hujah yg perlu diambil kira jika benar Raja Kurush adalah Zulqarnain yg dimaksudkan..

Namun, terapat beberapa persamaan di antara Raja Iskandar dan Raja Kurush:
- Kedua-duanya meluaskan empayar ke arah Timur
- Raja Iskandar mempunyai duit syiling yg diukir kepalanya bertaanduk dua..Tempat persemadian Raja Kurush juga mempunyai ukiran bertanduk dua..

Dalam buku ini menyimpulkan bahawa Zulqarnain yang terdapat dalam al-Quran adalah bukan Raja Iskandar berdasarkan hujah-hujah yg dikemukakan..justeru, Iskandar bukan Zulqarnain..sebaliknya gelaran Zulqarnain dikaitkan dengan Raja Kurush..

Buku ni memang menarik untuk dibaca. Terdapat banyak hujah yg dikemukakan berkenaan Iskandar dan Zulqarnain. Jika anda nak tahu apa hujah-hujah lain yg dibangkitkan seperti ciri-ciri Zulqarnain: Perjalanan ke arah terbenam matahari (Barat), Zulqarnain menerima Wahyu, perjalanannya ke arah terbit matahari (Timur) dan pembinaan tembok penghadang Yakjuj Makjuj, bolehlah baca sendiri buku ni..

* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Adab makan menurut Imam Ghazali



Di akhir zaman ini banyak jenis penyakit timbul, dan kebanyakannya berpunca daripada perut! "Perut adalah ibu segala penyakit" Perut dikiaskan sebagai makanan. Rasulullah sering mengingatkan umat Islam berkenaan bahaya perut supaya kita berwaspada dengan ancamannya.

Berikut merupakan adab makan menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin.

Adab sebelum makan:
  1. Pastikan makanan daripada sumber Halal.
  2. Membasuh tangan.
  3. Meletakkan makanan di dalam bekas yang diletakkan di atas lantai. Namun, di atas meja juga dibenarkan.
  4. Duduk dengan betul.
  5. Niat supaya makanan itu mendatangkan kekuatan untuk beribadah kepada Allah.
  6. Bergembira dengan rezeki yang terhidang dan bersyukur.
  7. Berusaha supaya tidak makan seorang diri, tetapi bersama-sama orang lain.
Adab ketika makan:
  1. Membaca bismullah dan doa.
  2. Makan dengan tangan kanan.
  3. Kunyah dengan baik.
  4. jangan mencaci makanan.
  5. Jamah makanan yang terdekat, kecuali buah-buahan.
  6. Jangan hembus nafas di atas makanan panas.
  7. Jangan makan berlebihan.
  8. Apabila terpaksa minum air, pastikan sedikit sahaja kecuali sekiranya perlu.
Adab selepas makan:
  1. Berhenti sebelum kenyang.
  2. Menjilat jari.
  3. Membasuh tangan.
  4. Berdoa.
  5. Mengeluarkan makanan yang terlekat di celah gigi atau flossing.
  6. Bersyukur kepada Allah.
  7. Beristighfar supaya diampunkan Allah andai kata terdapat unsur-unsur syubhah dalam makanan itu.
Islam itu telah memberi panduan hidup kepada umatnya. Ianya mudah dan ringkas.


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Diet cara Rasulullah

Rasulullah S.A.W. mementingkan khasiat dan kualiti dalam makanan dan pemakanan. Rasulullah banyak mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-bijian. Rasulullah bukanlah seorang pakar pemakanan, nutritionist ataupun dietitian. Tetapi baginda mengamalkan diet yang sihat!


Fakta - Rasulullah selalu makan roti yang diperbuat daripada tepung barli yang tidak diayak, menurut Sahl bin Saad.

Kenapa? menurut ilmu pemakanan, lapisan luar barli dipanggil bran dan barli ini dikenali sebagai husked barley. Lapisan bran mempunyai khasiat vitamin dan mineral. Berbanding gandum putih yang telah dibuang lapisan bran ini, sekali gus membuang khasiat dan vitamin yang terdapat padanya. Sebab itulah Rasulullah tak ayak barli!

Kenapa Rasulullah makan barli? sebab barli mengandungi banyak serat (fiber), selenium, fosforus, kuprum, niasin, mengenes dan juga antioksidan seperti vitamin E (tocotrienols) yang bertindak melawan radikal bebas (free radicals) yang menyebabkan kanser!

Rasulullah juga mengajar kita cara pemakanan yang betul. Ada beberapa larangan ketika makan, antaranya:

Jangan makan SUSU + DAGING
Jangan makan DAGING + IKAN
Jangan makan IKAN + SUSU
Jangan makan AYAM + SUSU
Jangan makan IKAN + TELUR
Jangan makan IKAN + DAUN SALAD
Jangan makan SUSU + CUKA


Kenapa? sebab makanan-makanan tersebut boleh menyebabkan sakit perut!

Sebagai contoh, ikan tak boleh dimakan bersama dengan daging, kerana keduanya mempunyai ion yang berbeza. Ikan mempunyai ion negatif dan daging pula ion positif. Pertembungan antara dua ion berlawanan ini akan mengakibatkan tindakbalas biokimia dalam badan dan boleh merosakkan usus kita! Jangan main belasah je makan semua.

Lepas makan jilat jari?

Sesetengah daripada kita cakap "ish..tak senonoh lah jilat jari lepas makan..tak sopan." Ya! tapi tahu tak amalan menjilat jari lepas makan merupakan salah satu sunnah Rasulullah?

Fakta - Enzyme yang terdapat pada tangan dan jari-jemari membantu proses penghadaman yang lebih baik! sebab tu lah Rasulullah suruh kita makan guna tangan.

Lepas ni boleh lah amalkan sunnah Rasulullah ketika makan! Jangan lupa baca Bismillah sebelum makan!


* Jika blog ini membantu, jangan segan silu untuk cadangkan kepada kawan anda! Sampaikan ilmu walau sebaris ayat *

Assalamualaikum


Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah hari ini lahir juga blog Cahaya Qasseh (CQ) ni. Setelah beberapa kali berfikir untuk memulakan blogging ni, hari ini di waktu subuh, Allah telah menetapkan hati ini untuk meneruskan perjuangan. Berjuang menyebarkan ilmu untuk dikongsi bersama rakan-rakan dan teman-teman.

Tentu ini merupakan pengalaman yang berbeza sekali.

Diharap pengisian blog ini dapat membantu anda. InsyaAllah dengan ilmu yg sedikit ini semoga kita sama-sama memperoleh manfaat daripadanya.

Sampaikanlah Ilmu Walau Sebaris Ayat